PRN hanya menyusahkan rakyat - Hadi Awang

Astro Awani
Januari 28, 2022 13:41 MYT
Abdul Hadi berkata mereka yang berdepan dengan kes di mahkamah perlu membuktikan mereka tidak bersalah dan tidak perlu takut. - Gambar fail
MARANG: Pas menyifatkan pilihan raya negeri adalah strategi yang tidak sihat dan tindakan itu hanya menyusahkan rakyat.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata usaha itu dilakukan oleh mereka yang tidak mempunyai jawatan di dalam parti.
Katanya lagi mereka yang berdepan dengan kes di mahkamah perlu membuktikan mereka tidak bersalah dan tidak perlu takut.
“Kita tahu yang buat strategi ini kluster mahkamah, kluster yang kalah pilihan raya ke-14, kluster yang tidak ada jawatan.
“Bukan semua dalam UMNO kluster mahkamah, ini kita tak anggap dia bersalah, orang yang dituduh belum bersalah. Kalau kita ada moral, lawan di mahkamah. Jangan susahkan rakyat. Ini nak susahkan rakyat dengan pilihan raya, ini nak selamatkan diri, susahkan rakyat. Lawan di mahkamah kalau kita betul, jangan takut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan kuliah mingguan di Masjid Rusila, Marang pada Jumaat.
Abdul Hadi turut mempersoalkan selepas Johor negeri mana pula yang akan mengadakan pilihan raya.
“Bukan semua UMNO dari kluster-kluster saya sebutkan tadi ini yang memainkan politik yang tidak sihat. Kalau nak buat lepas pada Johor mana pula, Perak? Lepas Perak mana pula? Tak ke letih?
“Rakyat dalam keadaan yang berlaku ini, lepas satu-satu tak kan kita nak buat lepas satu negeri ke satu negeri jadi kena fahamlah,” tambahnya.
#Abdul Hadi Awang #pilihan raya #PAS #UMNO
;