PRN: GPS yakin PH-BN kembali tadbir Selangor - Fadillah
Bernama
Ogos 10, 2023 07:15 MYT
Ogos 10, 2023 07:15 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan kembali mentadbir Selangor pasca Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau, yang juga Ketua Whip GPS berkata, ini kerana pembentukan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PH, BN dan pelbagai gabungan termasuk GPS telah mewujudkan kestabilan dalam banyak aspek terutamanya politik.
"Pengalaman penggal lepas sewaktu pertukaran kerajaan, ketidakstabilan politik telah menjejaskan kedudukan ekonomi negara kita. Maka, negara ini tidak mampu membangunkan negara dan bantu rakyat.
"Sebab itu saya kira kestabilan ini adalah tunggak segalanya...maknanya kita perlu berpadu. Mewujudkan kestabilan sekarang ini adalah lebih penting untuk rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Grand Finale Kita Selangor, di sini, malam tadi.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi PH dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN.
Hari pengundian bagi PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu akan berlangsung pada Sabtu ini.
- BERNAMA