PRN: Faktor peralihan undi dalam UMNO jadi tumpuan kajian Ilham Center
Astro Awani
Ogos 11, 2023 15:45 MYT
Ogos 11, 2023 15:45 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) diramal berdepan cabaran besar meraih undi akar umbi UMNO disebabkan faktor kepimpinan parti.
Firma kaji selidik, Ilham Centre merumuskan isu tidak puas hati terhadap Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendominasi kajian berkenaan
Ketidakpuasan hati itu, kata Ilham Centre menyebabkan akar umbi UMNO tawar hati untuk memberikan undi mereka kepada calon BN dan Pakatan Harapan (PH).
"Ahli UMNO termasuk jentera mengakui masih sukar untuk menerima PH kerana DAP dan sebahagiannya kerana Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
"Pendirian bergabung dengan dua itu berkait usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU) gagal dijelaskan dengan baik kepada ahli bawahan UMNO.
"Ahli UMNO berkemungkinan akan membuat peralihan undi kepada Perikatan Nasional (PN) atas faktor di atas dan juga lebih dekat dengan Pas kesan kerjasama (Muafakat Nasional) yang lalu.
"Ternyata MN menguntungkan Pas dan PN secara keseluruhannya," kata Ilham Centre.
Ilham Centre juga menjelaskan dalam kaji selidik yang dilakukan sepanjang kempen PRN di enam negeri itu, sekitar 27 hingga 58 peratus pengundi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu akan mengundi PN dalam PRN 12 Ogos ini.
Kajian firma itu juga selari dengan pandangan beberapa penganalisis politik bahawa momentum sokongan terhadap PN pada PRU15 lalu masih kekal.
"Dengan situasi pasca PRU15 dijangka tidak banyak berubah dan politik dalaman UMNO yang masih berkecamuk serta penerimaan Kerajaan Perpaduan yang sederhana di kalangan orang Melayu, PN dijangka terus menguasai undi kelompok ini.
"Walaupun kerjasama PH-UMNO akan mengecilkan keterpecahan undi orang Melayu berbanding ketika PRU15 menerusi persaingan dua penjuru (satu lawan satu), ia masih dilihat tidak membantu Kerajaan Perpaduan.
"Untuk memberikan konteks, UMNO kalah di kesemua kerusi Parlimen majoriti Melayu di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Selangor namun cemerlang di Negeri Sembilan dalam PRU15," katanya lagi.
Ilham Centre berpendapat faktor "cah keting" juga akan menyebabkan berlakunya undi protes terhadap calon BN terutama di Kelantan dan Terengganu.