PRN: 'Empat parti di bawah satu bumbung? Tiada masalah' - Calon MUDA DUN Bandar

Umavathi Ramayah
Ogos 9, 2023 13:00 MYT
Luqman Long berkata, tiada sebarang perselisihan faham meskipun dia, ayah, ibu, dan abangnya penyokong empat parti berbeza. - Foto FB Luqman Long
KUALA TERENGGANU: Di tengah-tengah perbezaan dan pergolakan politik, satu hakikat yang tidak dapat diubah adalah ikatan kekeluargaan.
Meskipun dibezakan oleh empat parti politik di bawah satu bumbung, namun setiap ahli keluarga bersikap profesional dan menghormati perjuangan parti masing-masing.
Satu-satunya calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) di Terengganu, Luqman Long berkata, walau berbeza parti politik, tidak berlaku sebarang perselisihan faham meskipun dia, ayah, ibu, dan abangnya penyokong empat parti berbeza.
Sebaliknya, mereka kerap berbincang mengenai persamaan berbanding melihat kepada perbezaan perjuangan parti politik masing-masing.
"Daripada dulu kami membincangkan isu-isu setempat seperti bagaimana menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang lebih maju.
"Perbezaan politik memang ada dalam keluarga, contohnya siapa pemimpin yang bagus buat kerja, menteri yang tidak cekap, dan sebagainya.
"Tapi kami dibesarkan dalam suasana politik matang dan terbuka untuk menerima pendapat.
"Pemikiran politik kami mungkin berbeza, namun akhirnya cara kami berfikir adalah demi anak-anak Terengganu," katanya ketika Astro AWANI, baru-baru ini.
Sementara itu, bagi Amir iaitu abang kepada Luqman pula, kalaupun ada percanggahan pendapat, namun ia berlaku dalam suasana yang harmoni dan bernas.
"Kalau ikutkan konflik itu ada, tapi bersifat manja-manja saja. Sebenarnya ia selalu melibatkan perbincangan yang bernas.
"Macam ayah saya sendiri, penyokong tegar UMNO, ibu sokong kerajaan negeri (Pas), saya keluar dari UMNO, menyertai Bersatu dan adik saya pula MUDA.
"Kalau dari segi kontroversi atau percanggahan, kami 'take it easy'.
"Kita bukanlah taasub sangat dengan perjuangan-perjuangan tertentu, akhirnya ia adalah demi membentuk negara yang lebih sempurna," ujar bekas calon Bersatu DUN Bukit Rakit pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pada PRN kali ini, DUN Bandar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara MUDA, Barisan Nasional, dan PAS.
MUDA menampilkan Ketua Penerangannya, Luqman, 30, yang menentang penyandang kerusi Ahmad Shah Mohamed, 55, daripada Perikatan Nasional (PN) manakala Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Armi Irzan Mohd, 43.
#PRN Terengganu #Luqman Long #DUN Bandar #Empat parti di bawah satu bumbung
;