PRN: Elak 'politik muslihat' Pas - Ahmad Zahid

Nur Fazlizai Ali
Julai 1, 2023 15:08 MYT
Ahmad Zahid bercakap kepada pemberita pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Pantai Penunjuk Kijal, hari ini. - Foto BERNAMA
KEMAMAN: Pengundi yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang diingatkan agar tidak terpedaya dengan 'politik muslihat' yang diamalkan Pas.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, politik yang dibawa pimpinan Pas itu juga perlu ditolak dan tidak boleh dibiarkan hingga membawa kemenangan kepada parti berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri itu berkata, penjelasan perlu dilakukan bagi menyedarkan pengundi, seterusnya mengelak dari terus tertipu.
“Bukan sekadar penjelasan, penipuan-penipuan, muslihat yang telah dilakukan itu pelbagai. Mereka telah menggunakan ayat al-Quran yang sama, hadis yang sama, terjemahan yang sama, tetapi taksiran berbeza-beza mengikut masa.
“Bagaimana lilit yang makin banyak, begitulah lilit pemikiran mereka. Bagaimana panjang serban, macam mana panjang akal mereka buat muslihat.
"Tuan-tuan, cukuplah orang Terenganu ditipu. Cukuplah kali ini sama ada orang UMNO, sama ada orang PKR, orang Amanah kita ketepikan perbezaan di kalangan kita dan kali ini masanya untuk kita ambil alih negeri Terengganu, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demkian ketika berucap pada Majlis Korban Perdana dan Jamuan Rakyat Bersama Timbalan Perdana Menteri di Pantai Penunjuk, Kemaman, pada Sabtu.
Katanya lagi, BN selama ini tertumpu kepada 'politik pembangunan' demi kesejahteraan rakyat.
Bagaimanapun Pas menurutnya, mengamalkan politik muslihat dan penipuan yang membawa kepada kemenangan kepada parti itu hingga pembangunan dinikmati rakyat dilupakan.
#politik muslihat #Zahid Hamidi #PRN #PAS
;