PRN: "Detik akhir musuh akan edarkan dan ulang-ulang fitnah" - Amirudin
Fareez Azman
Ogos 10, 2023 23:29 MYT
Ogos 10, 2023 23:29 MYT
GOMBAK: Datuk Seri Amirudin Shari mengingatkan rakyat di Selangor agar tidak termakan dengan fitnah yang akan dilancarkan musuh politik pada saat akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ujar Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Selangor itu, meskipun bakal diasak dengan pelbagai fitnah, namun tindakan undang-undang akan diambil terhadap pelakunya.
"Orang nak menang negeri nak bela rakyat, nak menang negeri nak bagi peluang pekerjaan, nak majukan negeri, dia nak menang negeri nak jatuhkan kerajaan.
"Memang pengkhianat, perosak, ktia tolak dia habis-habisan," katanya.
Tambah Amirudin, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sentiasa memastikan perpaduan dan kestabilan menjadi keutamaan sekaligus membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.
"Daripada awal dia cuba serang kita, serang semua tak lut tak makan, ini detik-detik akhir, dia akan edar fitnah, dia akan ulang-ulang fitnah.
"Jangan bimbang saya yakin kita dalam situasi benar. Kita dalam membuat keputusan yang benar, kamu fitnah terus, Insya-Allah kamu tidak akan terlepas peguam kita akan hantar surat tuntutan," tegasnya lagi.
Ujarnya, rakyat negeri itu perlu turun pada 12 Ogos untuk menunaikan tanggungjawab mereka memastikan PH dan BN kekal mentadbir negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Grand Finale Kita Selangor di Keramat pada Khamis.
Hadir sama dalam majlis itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan kepimpinan tertinggi PH dan BN Negeri Selangor.