PRN: Desak Zahid letak jawatan hanya jalan pintas kemuka alasan - Khaled

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 15, 2023 11:42 MYT
Mohamed Khaled berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia, Serdang, hari ini. --fotoBERNAMA
SERDANG: Desakan supaya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan Presiden UMNO merupakan jalan pintas kepada alasan prestasi buruk parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, proses pascanilai perlu dilakukan dalam menilai punca sebenar kekalahan majoriti kerusi ditandingi UMNO pada PRN tersebut.
"Itu mungkin jalan pintas, jalan mudah untuk memberi alasan atas kekalahan. Seelok-eloknya kita kaji dan buat post-mortem untuk kita tengok apa punca-puncanya, di mana kelemahan dan sebagainya.
"Apabila marah, emosi, akan keluar macam-macam kenyataan. Jadi, saya tidak mahu tergolong macam itu.
"Biar kita reda, kita lakukan post-mortem, kita cari kelemahan-kelemahan kita," katanya ketika ditemui media, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi sebelum itu merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023 di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Ditanya berkenaan faktor-faktor yang menyumbang kepada kekalahan itu, Mohamed Khaled berkata ada banyak faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan PRN itu.
Ujarnya, masih terlalu awal untuk menyatakan punca sebenar, selain menegaskan perlunya proses pascanilai dilakukan.
"Ya, ada banyak (faktor). Antaranya adalah, kita kena tahu apakah isu-isu yang dibawa dalam PRN ini.
"Kita juga tidak nafikan bahawa mungkin suasana daripada Pilihan Raya Umum lalu masih lagi ada, dan sebagainya.
"Kita juga tahu, mungkin rakyat masih belum merasai sepenuhnya kesan-kesan daripada usaha-usaha kerajaan dalam membangunkan negara.
"Jadi, semua ini. Akhirnya, ini yang kita dapati. Dan mungkin bagi banyak pengundi dan penyokong UMNO, ini pertama kali mereka bekerjasama dalam satu pasukan yang dulunya mereka lawan sama sendiri," kata Mohamed Khaled.
Pada PRN yang berlangsung Sabtu lalu, UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan hanya menang 19 daripadanya.
Pencapaian terbaik adalah di Negeri Sembilan dengan kemenangan di 14 daripada 17 kerusi DUN yang ditandingi.
Prestasi di Pulau Pinang dan Selangor kurang memberangsangkan apabila hanya menang dua kerusi.
Di Kelantan, parti itu hilang enam kerusi disandang dan kini hanya menguasai satu DUN, iaitu Galas, manakala di Kedah dan Terengganu, gagal meraih sebarang kerusi.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid meletak jawatan serta-merta, susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN itu.
Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Tan Sri Idris Jusoh juga mahu Ahmad Zahid bertanggungjawab dan meletakkan jawatan berikutan prestasi buruk dialami parti itu.
#Mohamed Khaled Nordin #pilihan raya negeri #letak jawatan #UMNO
;