PRN: DAP Pulau Pinang mahu parti Kerajaan Perpaduan pertahan kerusi mereka - Chow

Bernama
April 20, 2023 18:43 MYT
Chow berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP semalam. - Fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: DAP Pulau Pinang mahu parti dalam Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.
Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow berkata perkara itu juga telah diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat DAP semalam.
"Jadi (kepimpinan DAP) semua negeri yang mengambil baharian dalam pilihan raya negeri perlu menggunakan prinsip ini untuk memulakan rundingan, dan dengan itu UMNO Pulau Pinang pasti mendapat dua kerusi penyandang (Permatang Berangan dan Sungai Dua).
"Berdasarkan prinsip ini, kami tidak akan meminta kerusi mereka dan begitu juga sebaliknya," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Program Biasiswa Ancom Crop Care Pulau Pinang di sini hari ini.
Berhubung empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini di bawah Perikatan Nasional (PN) iaitu Seberang Jaya, Sungai Acheh, Bertam dan Teluk Bahang, Chow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkata perkara itu terbuka untuk rundingan.
"Kerusi yang tidak dimenangi PH pada pilihan raya sebelum ini, mungkin terbuka untuk perbincangan," katanya.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada pilihan raya umum 2018, menyaksikan PH memenangi 37 kerusi, ketika Bersatu masih menjadi sebahagian daripada gabungan itu.
BN memperoleh dua kerusi manakala Pas satu kerusi iaitu Penaga.
Sementara itu, Chow berkata tinggal kira-kira 80 hari lagi sebelum pembubaran DUN Pulau Pinang.
"Dari sekarang sehingga pembubaran mungkin kurang daripada 80 hari, tetapi mungkin jika termasuk tempoh berkempen sehingga hari mengundi, akan ada kira-kira 100 hari. Tempoh 100 hari ini sangat kritikal dan penting kerana semua parti dan calon akan memantapkan jentera mereka bagi menghadapi PRN nanti," katanya.
Chow berharap semua perkara berkaitan rundingan kerusi dapat dimuktamadkan dan proses pemilihan calon untuk DAP juga dapat dilakukan dengan sempurna.
-- BERNAMA
#PRN #Kerajaan Perpaduan #DAP Pulau Pinang #Pakatan Harapan
;