PRN: DAP Negeri Sembilan cadang pertahan 11 kerusi DUN - Loke

Bernama
Februari 19, 2023 15:54 MYT
Loke berkata beliau yakin dengan kepimpinan Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri yang mempunyai hubungan baik dengan semua pihak termasuk BN. - Gambar fail
SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan berhasrat mempertahankan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi, kata Pengerusinya Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata cadangan tersebut sebagai prinsip bagi memulakan rundingan antara Pakatan Harapan (PH) di negeri ini bersama Barisan Nasional (BN) berkaitan pembahagian 36 kerusi DUN untuk ditandingi pada PRN nanti.
Katanya DAP negeri telah memenangi 11 kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan PRU14 iaitu DUN Chennah, Bahau, Nilai, Lobak, Temiang, Bukit Kepayang, Rahang, Mambau, Seremban Jaya, Lukut dan Repah.
"Itu cadangan kami, bagi memulakan proses rundingan ini, sudah tentu ada parameter dan prinsip. DAP menyandang 11 kerusi DUN di negeri ini. Dalam konteks ini, kami sudah menang sejak sejak PRU13 lagi kemudian mempertahankan pada PRU14 dan pada PRU15 kami mencapai undi majoriti (di DUN tersebut).
"Jadi cadangannya, kerusi yang telah dimenangi DAP di Negeri Sembilan, kekal dengan parti penyandang. Tetapi kita terbuka dengan proses rundingan. Seperti saya katakan, kita menyerahkan kepada kebijaksanaan Menteri Besar (Datuk Seri Aminuddin Harun) bagi berunding di peringkat negeri (bersama BN)," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen DAP Negeri Sembilan ke-21 di sini hari ini.
Menteri Pengangkutan itu berkata beliau yakin dengan kepimpinan Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri yang mempunyai hubungan baik dengan semua pihak termasuk BN.
"Kami tidak tamak, kami tidak minta kerusi tambahan, kami hanya mempertahankan kerusi sedia ada. Kami nyatakan hasrat, terpulang kepada Menteri Besar untuk berunding bagi pihak PH Negeri. Saya berjanji pada Menteri Besar, DAP akan bagi perhatian untuk menang 11 kerusi ini," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP itu dalam ucapannya berkata senario politik kini sudah berubah apabila tertubuhnya Kerajaan Perpaduan yang dibentuk bersama parti lawan di peringkat Persekutuan dan keadaan ini menuntut semua ahli parti terutamanya di peringkat akar umbi perlu belajar menyesuaikan diri.
Jelasnya kerjasama tersebut melibatkan lima gabungan iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan.
"Senario politik kali ini berubah, kita memasuki era politik yang berlainan, pada hari ini di peringkat Kerajaan Persekutuan kita mempunyai Kerajaan Perpaduan, ia terbentuk bersama rakan-rakan atau parti yang kita lawan dulu. Selepas PRU15, tiada satu parti yang dapat membentuk kerajaan maka perlu ada perbincangan dan persefahaman.
"Walaupun secara tradisinya kita melawan dengan BN selama berpuluh tahun tetapi PRU15, kita telah ada satu persefahaman untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini adalah senario politik yang baru dan kita mesti belajar menyesuaikan diri," katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata setakat ini tiada perbincangan bersama Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan berkenaan pembahagian kerusi DUN bagi menghadapi PRN nanti, namun beliau bersedia untuk membincangkan perkara tersebut.
Pengerusi PH negeri itu berkata semua menteri besar dan ketua menteri yang terlibat dalam PRN akan mengadakan perbincangan mengenai tarikh sesuai pembubaran DUN masing-masing pada minggu ini.
Enam negeri tersebut ialah Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Kelantan dan Kedah.
-- BERNAMA
#DAP #Anthony Loke #pertahan kerusi #PRN
;