PRN: DAP nafi gugurkan P Ramasamy
Sinar Harian
Mac 26, 2023 15:04 MYT
Mac 26, 2023 15:04 MYT
KLANG: DAP menafikan laporan sebuah portal berita mendakwa parti itu menggugurkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook sebaliknya berkata, Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan sebarang senarai calon yang bakal bertanding dalam PRN.
“Kita belum bincang... kerusi pun belum selesai, justeru calon belum lagi (dimuktamadkan) dan calon (DAP) hanya akan tahu pada hari penamaan calon,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Selangor 2023 di Grand Centre Ballroom, di sini pada Sabtu yang turut dihadiri Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Hadir sama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo serta pemimpin-pemimpin DAP negeri Selangor.
Pada Rabu, sebuah portal berita melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dari DAP mungkin digugurkan daripada senarai calon PH di negeri Pulau Pinang dalam PRN kali ini. -- Sinar Harian