PRN: Dakwaan Sanusi diancam, Polis Kedah panggil Ahli Parlimen bantu siasatan
Abd Hadi Che Awang
Ogos 8, 2023 13:22 MYT
Ogos 8, 2023 13:22 MYT
ALOR SETAR: Polis akan memanggil seorang Ahli Parlimen di negeri ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan yang mengaitkan ancaman keselamatan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, tindakan itu dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan membabitkan kenyataan dimuat naik di laman sosial yang dikatakan fitnah dan mengelirukan dengan niat mendatangkan khianat yang boleh menggugat ketenteraman awam serta negara.
Tambah beliau, pihaknya juga telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
"Di sini (saya sahkan) sudah ada laporan (berhubung isu) ini, kita akan pastikan penama yang disebut tadi akan dipanggil dan diambil keterangan.
"(Ini adalah) untuk pastikan jangan (kita semua) tunjukkan satu benda yang berunsur politik dan mengheret sama pasukan keselamatan, kita (juga jangan) heret orang luar dengan (kenyataan yang) ada kegusaran.
"Jadi saya berterima kasih kepada yang buat laporan polis, (ia memudahkan) kami sebagai pegawai penguat kuasa untuk pastikan... bila ada laporan polis, kita akan buka kertas siasatan dan akan (panggil) penama (yang disebutkan) itu untuk lengkapkan siasatan," katanya.
Fisol berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau Pusat Pengundian Awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah ke-15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Alor Setar pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai terutamanya calon serta penyokong parti politik yang terlibat dalam PRN di negeri itu untuk berkempen secara matang.
Tambahnya, kempen yang lebih terarah kepada dakwaan atau kenyataan yang boleh menimbulkan kegusaran serta tidak bertanggungjawab juga perlu dielakkan semua pihak.