PRN: Chow Kon Yeow calon Ketua Menteri Pulau Pinang - DAP
Afiezy Azaman
Julai 14, 2023 09:00 MYT
Julai 14, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: DAP bersetuju untuk menamakan Chow Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung bulan depan.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook dalam satu kenyataan berkata, keputusan menamakan Kon Yeow sebagai calon Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal kedua dibuat Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP.
Selain beliau yang mengetuainya, Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP turut dianggotai Pengerusinya, Lim Guan Eng; Timbalan Pengerusi, Gobind Singh Deo; Naib Pengerusi Nga Kor Ming dan Naib Pengerusi M. Kulasegaran.
"Keputusan ini telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau telah merestui keputusan tersebut sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).
"Jawatankuasa ini yang merupakan kepimpinan tertinggi DAP juga memutuskan untuk membuat pembaharuan besar dalam barisan Exco Kerajaan Negeri yang mewakili DAP sekiranya diberi mandat semula oleh rakyat Pulau Pinang untuk membentuk Kerajaan Negeri.
"Proses pembaharuan ini adalah satu keperluan untuk memastikan kesinambungan dan kelangsungan kepimpinan DAP di Pulau Pinang yang lebih muda, dinamik dan berupaya untuk menerajui dan memimpin Pulau Pinang ke arah yang lebih maju dalam semua bidang demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan,pada Jumaat.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi, Kon Yew akan digugurkan sebagai Ketua Menteri negeri itu.
Anthony dalam masa sama memaklumkan, senarai penuh calon yang akan mewakili DAP dalam PRN akan diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Calon yang seterusnya pada minggu hadapan.
"Semua calon DAP akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum Hari Penamaan Calon," ujarnya.
Pada PRU 2018 lalu, Pakatan Harapan memenangi 37 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang sementara Barisan Nasional (BN) memenangi dua dan Pas satu kerusi.
Ia berkurang kepada 33 berikutan keluarnya Bersatu daripada PH.
DAP memegang 19 kerusi, PKR (12) dan Amanah (dua).