PRN: Che'gu Bard dakwa wujud salah guna kuasa babit MB Selangor
Fareez Azman
Ogos 7, 2023 17:31 MYT
Ogos 7, 2023 17:31 MYT
SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari didakwa terbabit dalam salah laku dalam pemberian projek membersihkan Sungai Klang yang dianugerahkan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat.
Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard, yang membuat dakwaan itu berkata, semua bukti telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad.
"Pada 6 Ogos 2023 (Ahad), saya telah membuat laporan SPRM berkenaan perkara ini. Laporan saya dilampirkan hampir 200 helai dokumen berkaitan termasuk bertaraf sulit antaranya lima Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan salinan perjanjian.
"Melalui dokumen-dokumen yang dihantar jelas menunjukkan bahawa telah berlaku beberapa salah laku dari segi teknikal dan moral," dakwanya dalam sidang media khas Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam pada Isnin.
Mengulas lanjut, Chegu Bard mendakwa, maklumat carian pihaknya mendapati Kerajaan Negeri tidak mempunyai majoriti pegangan saham dalam syarikat berkenaan.
"Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Amirudin selaku Menteri Besar telah memberikan projek membersihkan Sungai Klang bernilai RM700 juta kepada sebuah syarikat tanpa melalui proses tender terbuka.
"Walaupun ia syarikat bertujuan khas (SPVC) tetapi ia bukan dikawal kerajaan negeri kerana kerajaan negeri memegang saham minoriti, di mana 55 peratus lagi dikawal oleh syarikat lain.
"Sangat luar biasa apabila Menteri Besar serta Ir Izham Hashim Exco Kerajaan Negeri sendiri duduk dalam syarikat dan menerima elaun yang dikawal oleh syarikat itu, tetapi kerajaan negeri anugerah projek kepada syarikat tersebut," dakwanya.
Dakwa Che'gu Bard lagi, dokumen yang dimilikinya turut menjelaskan bahawa syarikat tersebut turut memiliki tanah lebih 600 ekar dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM10 bilion.
"Lebih malang lagi bukan sahaja suntikan dana rakyat kepada syarikat ini dihapus kira, malah kerajaan turut akan menghapuskan pembayaran premium tanah. Itu belum lagi nilai hasil pasir batuan dan tanah diperolehi syarikat tersebut," dakwanya lagi.
Justeru, beliau meminta Amirudin ataupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjawab setiap dakwaannya itu.