PRN: Calon BN, PN tiba di Pusat Penamaan Calon DUN Juasseh

Ridauddin Daud
Julai 29, 2023 09:50 MYT
Bibi Sharliza (tengah) tiba di Dewan Hadhari, Pekan Juasseh, Kuala Pilah, kira-kira jam 8.50 pagi. - Foto Astro AWANI
KUALA PILAH: Dua calon yang diumumkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh sudah tiba di Pusat Penamaan Calon bagi kawasan tersebut.
Calon BN, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid paling awal tiba, hadir ke Dewan Hadhari, Pekan Juasseh di sini, kira-kira jam 8.50 pagi.
Turut mengiringi beliau, Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said bersama penyokong BN.
Calon PN pula, Datuk Eddin Shazlee Shith tiba pada jam 9.15 pagi bersama penyokong yang turut sama hadir.
Kedua-dua calon dilihat selesai menghantar borang pencalonan pada jam 9.35 pagi.
Pengurus Pilihan Raya DUN Juasseh, Ir Shirin Idora Mahmud akan mengumumkan senarai calon sebaik tempoh pendaftaran tamat pada jam 10 pagi nanti.
Setakat ini, masih belum kelihatan calon Bebas mendaftarkan diri sebagai calon.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14, DUN Juasseh dimenangi oleh Datuk Ismail Lassim dengan majoriti 694 undi.
Beliau memperoleh 4,146 undi, menewaskan Rosli Omar dari PKR yang mendapat 3,454 undi.
Manakala calon Pas, Hassan Mohamed pula hilang wang deposit apabila hanya meraih 624 undi.
#DUN Juasseh #pusat penamaan calon #PRN Negeri Sembilan #PRN
;