PRN: Calon BN Khizri bakal berdepan Sanusi di DUN Jeniri

Hilmi Malik
Julai 29, 2023 09:07 MYT
Calon Barisan Nasional bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.38 pagi di Pejabat Daerah Dan Tanah, Sik.
SIK: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.38 pagi di Pejabat Daerah Dan Tanah, Sik.
Beliau yang mengenakan baju Melayu bewarna biru hadir diiringi pencadang dan penyokongnya sebelum memasuki dewan bagi penyerahan borang pencalonan.
Muhamad Khizri yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik bakal berentap dengan penyandang kerusi berkenaan ketika ini, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor yang juga Menteri Besar Kedah.
Ketibaan beliau turut diarak oleh penyokongnya yang masing-masing membawa bendera BN dan Pakatan Harapan (PH) yang dianggarkan seramai 500 orang.
Kedah merupakan antara enam negeri yang akan terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.
Lima negeri lain ialah Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.
#PRN #DUN Jeniri #Muhammad Sanusi Md Nor #Muhamad Khizri Abu Kassim
;