PRN: Calon BN Jeram Padang disah patah kaki, pembantu parah kemalangan
Shuhada Abdul Kadir
Julai 31, 2023 13:00 MYT
Julai 31, 2023 13:00 MYT
TAMPIN: Kemalangan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, di Jalan Pasir Besar di sini, awal pagi tadi, tidak melibatkan kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Anuwal Ab Wahab berkata, pacuan empat roda Ford Ranger itu dipandu sendiri Mohd Zaidy yang ketika itu bersama pembantunya.
Katanya, akibat kemalangan itu Mohd Zaidy atau dikenali Tok D patah kaki kiri manakala pembantunya parah dan telah dikejarkan ke Hospital Jempol.
“Pada jam lebih kurang 3 pagi, terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Ford Ranger yang dipandu oleh calon DUN Jeram Padang bersama pembantunya.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika Mohd Zaidy dan pembantunya dalam perjalanan ke Palong dari arah Bahau melalui Jalan Pasir Besar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau menyeru orang ramai atau saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan.
“Kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan jalan raya terbabit boleh menghubungi Balai Polis Trafik IPD Tampin di talian 06-4412502 dan Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 06-4431999 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, pembantu kempen calon BN DUN Jeram Padang, Mohd Nazir Md Yunus berkata kejadian berlaku ketika Mohd Zaidy dalam perjalanan pulang ke inap desa selepas selesai bermesyuarat.
“Kemalangan pagi tadi itu berlaku ketika calon baru selesai adakan mesyuarat dengan jentera dan dalam perjalanan pulang ke inap desa di Felda Palong 2.
“Beliau sekarang ini berada di wad biasa Hospital Jempol dan keadaannya stabil,”katanya ketika dihubungi hari ini.
Difahamkan buat masa ini, pihak hospital hanya membenarkan anggota keluarga menziarahinya berikutan beliau memerlukan rehat dan rawatan yang secukupnya.