PRN: Calon Bebas, M Satees buat laporan polis dakwa terima ugutan
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 12, 2023 17:51 MYT
Ogos 12, 2023 17:51 MYT
BUTTERWORTH: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, M Satees membuat laporan polis mendakwa menerima ugutan daripada calon sebuah parti politik yang bertanding di kerusi sama serta beberapa individu lain.
Dakwa Satees, kejadian berlaku di sebuah pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior, ketika dia bersama ejennya hadir untuk memeriksa peti undi.
“Saya baru sahaja membuat laporan tentang satu kejadian, di mana saya dan ejen saya telah dikepung, dihina dan diugut oleh calon terbabit, adiknya serta beberapa rakannya.
“Kejadian berlaku di Sekolah Kebangsaan Sungai Nyior, iaitu tempat saya meninjau peti undi, selepas mendapat berita berhubung kejadian yang berlaku di pusat mengundi Paya Terubong awal hari ini," dakwanya di sini, hari ini.
Menurut Satees, sewaktu berada di lokasi kejadian, calon tersebut bersama beberapa individu lain bertindak memarahi serta memaki hamun mereka dengan kata-kata kesat.
Malah dakwa Satees, adik kepada calon itu juga beberapa kali mengugutnya dan keluarga.
“Adik lelakinya memarahi dan mengugut saya dengan menyatakan - kamu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku ke atas kamu selepas esok," dakwanya.
Satees berkata, ketika hendak meninggalkan sekolah tersebut, dia dan ejennya sekali lagi dikerumuni oleh kira-kira lapan individu yang bertindak memaki hamun mereka dengan kata-kata kesat selain diugut dan digertak.
“Saya rasa ada ancaman kepada diri saya dan keluarga saya. Saya membuat laporan polis untuk keselamatan diri saya,” katanya.
Satees, yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, bertindak keluar DAP dan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Bagan Dalam pada Pilihan Raya Negeri hari ini.
Pada PRN ini, dia berdepan dengan calon PH-DAP iaitu K. Kumaran, K.Jayaraman (DHPP-PN), dan S. Rajasakanan (PFP).