PRN: Cabaran debat Rafizi, Syahir tunggu surat sampai

Irfan Faruqi
Julai 30, 2023 14:49 MYT
Ahli Parlimen Bachok itu menerusi satu hantaran di Facebook memberi maklum balas kepada cabaran debat yang dikemukakan Rafizi. - Foto/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Debat hal ehwal ekonomi antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman mungkin akan dapat dijayakan.
Ahli Parlimen Bachok itu menerusi satu hantaran di Facebook memberi maklum balas kepada cabaran debat yang dikemukakan Rafizi, dengan menyatakan sedia menunggu surat jemputan disampaikan kepada pihaknya.
"Patutlah batuk-batuk sejak semalam. Rupanya ada orang jauh sebut-sebut nama kita.
"Saya ada di Bachok ni. Kita tunggu lah surat itu sampai," katanya.
Beliau juga menyertakan pantun: "Pulau Pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, Hancur badan dikandung tanah, JANJI yang baik dikenang juga".
Dalam hantaran ringkas tersebut, Syahir turut memaparkan bersama potongan akhbar mengenai cabaran yang dikemukakan terhadapnya oleh Rafizi.
Terdahulu, media melaporkan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR 'mencuba nasib' mencabar Syahir untuk berdebat dengannya mengenai hal ehwal ekonomi.
Cabaran berkenaan dibuat selepas Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak untuk berdebat dengannya.
Sementara itu, Rafizi mengingatkan pengundi atas pagar akan menganggap kepimpinan PN tidak berani berdebat sekiranya berterusan menolak pelawaan tersebut.
#PRN #Rafizi Ramli #cabaran debat #Mohd Syahir Che Sulaiman
;