PRN: Bukan kerana 'gelombang hijau', orang Melayu kurang senang dasar ekonomi - Khairy

Astro Awani
Jun 20, 2023 10:56 MYT
Kata KJ, sepanjang tujuh bulan memerintah, jelas sekali terdapat kekurangan pada hala tuju ekonomi dan ringgit Malaysia terus melemah. - Fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sukar mendapat sokongan orang Melayu menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang, bukan semata-mata disebabkan gelombang Perikatan Nasional (PN), tetapi lebih didorong rasa tidak puas hati terhadap pentadbirannya yang kurang dari hala tuju ekonomi.
Itu pendapat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin terhadap pentadbiran Perdana Menteri ke-10.
Pandangan itu disuarakan oleh Khairy melalui artikel yang disiarkan Fulcrum diterbitkan oleh ISEAS – Yusof Ishak Institute, Singapura ketika negara berbaki beberapa minggu sahaja untuk berdepan PRN di enam negeri.
Mengulas lanjut, kata Khairy, kebangkitan gelombang hijau yang ekstrem tidak banyak menyumbang kepada apa yang berlaku di Malaysia hari ini, berbanding ungkapan rasa tidak puas hati yang tulen dalam kalangan masyarakat Melayu, yang melangkaui isu tiga R yang merujuk bangsa, agama dan institusi diraja.
"Tanpa mengkhianati asasnya yang berbilang kaum dan progresif, Anwar telah cuba membendung rasa tidak puas hati orang Melayu dengan menangani beberapa isu 3R secara langsung. Anwar sendiri membuat kenyataan di Parlimen dalam menangani isu "Allah", yang secara tradisinya di bawah raja-raja Melayu.
"Beliau telah meminta pertemuan dengan mereka untuk mendapatkan keputusan muktamad mengenai perkara itu. Ini adalah penyimpangan daripada kedudukannya sebelum menjadi Perdana Menteri.
"Kemarahan Melayu yang ketara ini dikuatkan dengan sikap pentadbiran sekarang, yang bercakap tentang membanteras rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik, tetapi menampung kepimpinan UMNO yang tercemar," dakwa Khairy.
Tambahnya, sepanjang tujuh bulan memerintah, jelas sekali terdapat kekurangan pada hala tuju ekonomi dan ringgit Malaysia terus melemah dan krisis kos sara hidup terus menghakis kuasa beli rakyat.
#Khairy Jamaluddin #UMNO #PRN #Anwar Ibrahim