PRN: BN, PKR P. Pinang terima keputusan dengan hati terbuka
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 13, 2023 09:15 MYT
Ogos 13, 2023 09:15 MYT
GEORGE TOWN: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang menerima keputusan pengundi dengan hati terbuka susulan kemenangan meraih dua kerusi sahaja pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya akan menganalisis punca kekalahan empat lagi calon yang kalah.
Musa berkata, daripada enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, BN hanya menang dua kerusi iaitu DUN Bertam menerusi Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan DUN Sungai Acheh pula diraih Rashidi Zinol.
Sehubungan itu, BN negeri menerima keputusan pengundi dengan hati terbuka.
"Kita bertanding enam kerusi, kita hanya menang dua kerusi… kita terima keputusan, rakyat sudah buat keputusan dan kita terima dengan hati terbuka,
"Walaubagaimanapun kita akan buat 'post mortem' kelemahan kita… kita akan lihat calon kita yang lain di kawasan tersebut kenapa ditolak.
“Dalam masa sama kita akan terus berkhidmat untuk masyarakat, tetap akan teruskan bekerja macam biasa, kita tidak akan putus asa, kita akan terus berjuang," katanya dalam sidang.
Menurut Musa, kedua-dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN juga akan menyokong kepimpinan Chow Kon Yeow dalam kerajaan negeri.
Dalam perkembangan sama, BN Pulau Pinang merakamkan penghargaan kepada Kon Yeo yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri dan seluruh jentera PH yang membantu jentera BN.
Pada PRN 15, BN menang di DUN Bertam dan DUN Sungai Acheh dan tewas empat lagi kerusi DUN yang ditandingi iaitu Sungai Dua, Penaga, Permatang Berangan dan Telok Bahang.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Muhamad Bakhtiar Wan Chik berkata, calon PKR menang di tujuh kerusi DUN daripada 13 kerusi yang ditandingi pada PRN kali ini.
"Kebanyakan kerusi yang kita kalah adalah di kawasan majoriti undi Melayu dan kita menang satu kerusi campuran iaitu di DUN Batu Maung.
"Saya rasa ini satu pengajaran kepada kita, namun kita kena terima keputusan yang dibuat rakyat dan pasti calon-calon pun sudah meneliti sebab kekalahan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak lawan juga banyak bermain dengan sentimen yang mempengaruhi orang muda dan perkara itu tidak sempat ditangkis oleh calon-calon PKR.