PRN: BN, PH Kedah umum manifesto 27 Julai depan
Abd Hadi Che Awang
Julai 25, 2023 16:19 MYT
Julai 25, 2023 16:19 MYT
ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) negeri Kedah akan mengumumkan manifesto gabungan berkenaan dalam satu majlis yang akan diadakan di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, 27 Julai depan.
Menurut Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, manifesto itu merupakan satu penawaran baharu yang memberi fokus serta penekanan terhadap keseluruhan aspek meliputi semua golongan dan pekerjaan di negeri Jelapang Padi itu dalam memberikan kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau turut memaklumkan bahawa, kesemua calon mewakili BN dan PH juga akan diumumkan dalam majlis berkenaan.
"Ya (betul) la (mereka tidak laksanakan apa yang dijanjikan), sekarang ini bukan (mereka) gagal tetapi tak buat apa-apa pun, apa dia nak buat, mengata dekat orang sahaja, dengan saya (sekali) pun dia kata, jadi tidak ada (perkara baharu yang dilakukan).
"Kalau nak jadi pemimpin you kena serius, (menekankan) bendanya berkenaan kepimpinan dan rakyat, di tengahnya pegawai kerajaan yang laksanakan program, tetapi kalau you tidak serius, inovasi tak ada, kreativiti tidak ada, apa pegawai nak laksanakan.
"You (all) boleh tunjuk dekat saya apa yang rakyat (Kedah) dapat dalam tempoh tiga tahun ini, tidak ada benda pun, yang kita dengar REE sahaja," katanya.
Mahdzir berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah di Pejabat UMNO Negeri Kedah, Bangunan Tunku Alor Setar, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa isu yang dibangkitkan mengenai Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang dikaitkan dengan kecurian unsur nadir bumi (REE) tidak boleh 'disembunyikan' oleh kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
"Dia (Sanusi kena beri penjelasan kerana dia adalah) Pengerusi MBI, saya ingat statement saya lebih awal daripada itu ialah menyatakan bahawa sebenarnya MBI tidak perlu letak bawah karpet (masalah atau isu yang berlaku).
"Perlu ceritakan benda yang betul terjadi, kalau (berlaku) kata (berlaku), kalau kata illegal benda (berkaitan REE) itu illegal cakaplah illegal," katanya.
Terdahulu, BN mengumumkan 15 orang calon akan diketengahkan dalam PRN akan datang daripda gabungan parti Kerajaan Perpaduan dalam satu pengumuman pada Jumaat.
Manakala di pihak PH, PKR mengumumkan 10 calon manakala Amanah, sembilan calon.
DAP dijangkakan akan mengumumkan dua calon mereka di Kedah dalam waktu terdekat sekali gus mencukupkan 36 calon yang akan tampil pada PRN akan datang daripada gabungan BN-PH.