PRN: BN bertanding di 107 kerusi DUN, 62 peratus muka baharu
Hasimi Muhamad
Julai 21, 2023 21:32 MYT
Julai 21, 2023 21:32 MYT
KUALA LUMPUR : Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 107 calon daripada 245 kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan serta Terengganu pada 12 Ogos ini.
Pada PRN keenam-enam negeri kali ini, Barisan Nasional menampilkan 62 peratus calon muka baharu, 18 peratus penyandang sebelum ini dan 20 peratus terdiri daripada mereka yang pernah bertanding. Calon Wanita juga tidak dilupakan apabila sejumlah 13 orang dinamakan sebagai calon.
Pengumuman calon secara serentak itu dibuat oleh Pengerusi BN, yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) malam ini.
Menurut Ahmad Zahid, calon-calon yang dipilih telah melalui proses tapisan dan pertemuan secara peribadi dengannya untuk memastikan individu terbabit mampu menggalas tanggungjawab dan amanah sebagai wakil rakyat, kelak.
"Kita juga menampilkan kira-kira 87 peratus daripada calon ini memiliki kelayakan akademik di peringkat pengajian tinggi dan profesional.
"BN menampilkan wajah-wajah segar, yang insya-Allah mampu mengalas amanah dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman tersebut sebentar tadi.
Ahmad Zahid menambah kesemua calon yang ditampil turut terdiri daripada mereka yang memahami aspirasi Kerajaan Perpaduan untuk memastikan kestabilan politik dalam negara.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu menyifatkan, calon-calon BN yang diketengahkan kali ini lebih ramai wanita dan pemuda namun tidak secara spesifik memperincikan peratusan bagi kategori berkenaan.
Daripada jumlah keseluruhan, BN bertanding di 14 kerusi DUN Kedah: Kelantan (31 kerusi); Terengganu (27 kerusi); Selangor (12 kerusi); Pulau Pinang (enam kerusi); manakala Negeri Sembilan (17 kerusi).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos depan sebagai hari pengundian PRN dan diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, serta Terengganu.
Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 29 Julai dan 8 Ogos.