PRN: 'Berkempen tak payah maki hamun' - Anwar ingatkan Muhyiddin

Fareez Azman
Ogos 6, 2023 23:14 MYT
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak menggunakan pentas ceramah politik untuk memaki hamun parti lawan. - Astro AWANI
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar tidak menggunakan pentas ceramah politik untuk memaki hamun parti lawan.
Sebaliknya, tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, pentas politik seharusnya digunakan untuk menjelaskan mahupun melontarkan kritikan.
"Saya cakap (loghat) Kedah sikit-sikit, tapi bukan Kedah kasar macam tu. Tak. Tapi jangan maki hamun, saya dengar ceramah (Muhyiddin) kata Anwar khianat, Anwar bodoh. Tan Sri Muhyiddin cakap PM bodoh, dulu dia kata PM tepi skarang saya tengah.
"Jadi, saya nak nasihatkan... jangan sombong sangat, dia bagi kritik tak apa, takkan saya buat semua betul. Boleh bagi pandangan tapi jangan cakap bodoh, penipu," katanya ketika berucap dalan Ceramah Jelajah Perpaduan MADANI di Dataran Anak Muda, Petaling Jaya pada Ahad.
Jelas Anwar, setiap penghinaan yang dihamburkan terhadapnya, akan dijawab dengan fakta dan bukan mengikut gaya pembangkang.
"Termasuk (pelaburan) Infineon iaitu syarikat Jerman yang besar dengan teknologi tinggi, memang dah lama di Kulim Hi-Tech. Dana Kerajaan Persekutuan, bawa pelaburan Kerajaan Persekutuan cuma (beroperasi) di Kulim, Kedah.
"(Mereka) kata Anwar bodoh, yang kata saya bodoh, pergi tengok cermin. Kemudian (kata) saya tipu, tak tipu... saya ada surat itu. Geely bersetuju untuk membuka pusat automotif di Tanjung Malim," tegasnya.
Mengulas lanjut, kata Anwar, Kerajaan Perpaduan komited untuk meneruskan tanggungjawab dalam membantu rakyat terutama kos sara hidup, ekonomi dan pendidikan.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, calon DUN N.33 Taman Medan, Ahmad Akhir Pawan Chik; calon N.32 Seri Setia, Dr Fahmi Ngah; serta Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya, Datuk Mutalif Abdul Rahim.
#PRN #kempen #Anwar Ibrahim #Muhyiddin Yassin
;