PRN: Bakal pengantin sempat singgah mengundi sebelum bernikah
Bernama
Ogos 12, 2023 12:43 MYT
Ogos 12, 2023 12:43 MYT
KUALA LUMPUR: Biarpun perlu segera menghadiri majlis pernikahannya, bakal pengantin Abdul Qayyim Roslan tetap menunaikan kewajipan untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor hari ini.
Pekerja swasta berusia 26 tahun itu yang ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Keramat berkata, dia telah berbincang dengan bakal isterinya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia terlebih dahulu sebelum ke majlis akad nikah mereka.
"Ini adalah tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia, jadi amatlah perlu saya lunaskan dahulu amanah ini.
"Sebaik selesai mengundi, saya segera bergerak ke Selayang untuk majlis akad nikah dan persandingan. Bakal isteri pula akan mengundi di sana sebaik tamat majlis kami petang ini," kata pemuda yang berasal dari Taman Bukit Mulia, Bukit Antarabangsa itu.
SMK Seri Keramat menjadi tumpuan orang ramai hari ini berikutan penyanyi rap terkemuka yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau Altimet turut mengundi di sini.
Sementara itu, seorang lagi pengundi bagi DUN Bukit Antarabangsa Chung Wai Choong, 63, yang menghidap polio tidak menjadikan penyakitnya itu sebagai penghalang untuk keluar mengundi.
Dia yang kelihatan menggunakan angkup kaki besi pada kaki kanannya tidak pernah ketinggalan menjalankan tanggungjawab mengundi bagi DUN itu sejak 20 tahun lepas.
"Saya sudah hidap polio ini sejak bayi sehingga membuatkan otot kaki kanan lemah dan tidak berdaya. Tapi kaki kiri saya masih berfungsi dengan baik dan saya tidak mahu lepaskan peluang mengundi walaupun saya berjalan agak lambat," katanya yang menetap di Kemensah Heights.
Dia yang bekerja sendiri dari rumah turut menasihati orang ramai supaya segera keluar mengundi sebagai menyahut seruan demokrasi.
Kerusi DUN Lembah Jaya menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Altimet dan calon Perikatan Nasional (PN) Sharifah Haslizah Syed Ariffin.
Sementara DUN Bukit Antarabangsa, calon PH Mohd Kamri Kamarudin akan bersaing dengan calon PN Sasha Lyna Abdul Latif dan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Melanie Ting.
-- BERNAMA