PRN: Azmin dakwa PN dahului kerusi di Selangor
Madiha Abdullah
Jun 19, 2023 06:45 MYT
Jun 19, 2023 06:45 MYT
KUALA LANGAT: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa parti itu sedang mendahului dalam persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.
Malah, beliau turut mendakwa, ia menjadi punca mengapa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sukar untuk mendedahkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Setakat malam ini, laporan daripada pihak polis dikemukakan ke Putrajaya, PN telah mendahului dari jumlah kerusi di negeri Selangor.
"Sebab itu itu Amirudin susah nak umum tarikh pembubaran, satu hari Itu penting untuk dia, talian hayat tapi sudah pun diumumkan, jadi kerja kuat, catatkan satu lagi kejayaan.
"Insya-Allah, Selangor menjadi milik PN," katanya ketika muncul dalam Ceramah Selangor Baharu Perikatan Nasional Gempur Kuala Langat, pada Isnin.
Azmin juga membidas kenyataan Amirudin kononnya tindakan beliau mengumumkan pembubaran DUN Selangor akan berlaku pada 19 Jun, sebagai bertentangan dengan adab.
"Ramai tanya kenapa istana yang umum bubar... sebab yang ada di pejabat tingkat 21 itu lembap. Tak ada keyakinan. Orang lain sudah umum, dia tak umum lagi.
"Kamu (Amirudin) tak nak umum, biar saya umum. Tetapi kemudian dia kata tak hormat adab, tak tahu proses. Saya menteri besar dulu, saya tahulah.
"Saya sekadar nak letak tekanan. Kamu (Amirudin) nak lari ke mana? 25 Jun ini talian hayat habis, kamu tak boleh tangguh lagi jadi umumkanlah," katanya lagi.
Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, Jumaat ini, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Perkara itu diumumkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Datuk Mohamad Munir Bani pada Istiadat Pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah.