PRN: 'Anthony Loke, tunggu... sabar itu separuh daripada iman' - Shahidan

Umavathi Ramayah
Ogos 7, 2023 00:15 MYT
Shahidan Kassim optimis mengatakan Perikatan Nasional akan menang kesemua enam negeri pada 12 Ogos ini. - Foto fail/BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim membayangkan Perikatan Nasional (PN) bakal menawan Putrajaya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Malah beliau optimis mengatakan gabungan itu akan menang kesemua enam negeri pada 12 Ogos ini.
"Insya-Allah, PN akan memenangi enam kerusi negeri kalau Anthony Loke kata, kalau menang di enam negeri tidak akan tukar Putrajaya, sabar... sabar itu separuh daripada iman, kamu tunggu, selepas kami menang di enam negeri, ingat bulan lapan (Ogos) bye-bye," katanya kepada pemberita di pasar malam Taman Permint Jaya, Chendering di sini, pada Ahad.
Sebelum itu beliau bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan calon Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad mengedarkan risalah kepada orang ramai.
Mengulas lanjut, Shahidan yang juga bekas Menteri Besar Perlis bagaimanapun menafikan wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan.
Sebaliknya kata beliau, sekiranya PN menang di enam negeri, ia adalah referendum rakyat yang menolak Pakatan Harapan (PH).
"Yang menentukan kerajaan adalah ahli Parlimen, jadi ahli Parlimen kena tengoklah, kalau rakyat di enam negeri tolak, tunggu apa lagi? soalnya.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menempelak PN yang didakwa semberono dalam membuat kenyataan kononnya perubahan kepada kerajaan negeri mampu mengubah kedudukan kerajaan Persekutuan.
Justeru, Anthony Loke menggesa PN supaya menghentikan politik tidak matang dan tidak mengelirukan rakyat.
#Anthony Loke #Shahidan Kassim #PRN #Putrajaya