PRN: Aminuddin berdepan saingan empat penjuru di Sikamat

Shuhada Abdul Kadir
Julai 29, 2023 11:30 MYT
Dari kiri, Ahmad Raihan, Aminuddin, Bujang dan Mohammed Hafiz yang bertanding di DUN Sikamat pada PRN 12 Ogos ini. - Foto Astro AWANI
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun sah mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Beliau bakal berdepan saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Ahmad Raihan Muhamad Hilal serta dua calon Bebas, Bujang Abu, dan Mohammed Hafiz Baharudin.
Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Sikamat, Saiful Saadon selepas semakan proses penamaan calon selesai dilakukan.
Aminuddin yang mempertahankan kerusi itu buat kali keempat berkata, melihat kepada tiga calon lain yang sememangnya sudah biasa dengan kawasan DUN Sikamat, ia jelas bukan suatu persaingan yang boleh diambil mudah.
“Kita bertanding dan kita tetap kena tahu bahawa itu pertandingan, (jadi) kita tahu ada risiko dan saya akan terus bekerja bagi memastikan kemenangan ini.
“Tidak dinafikan mereka ada kelebihan masing-masing. Contohnya, calon lama pun ada, iaitu seorang calon Bebas ini sudah bertanding kali ketiga dan saya juga mengenalinya, kerana dia tinggal di kawasan ini,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon N13 DUN Sikamat di Dewan Komuniti Coral Heights, di sini, hari ini.
Beliau yang merupakan penyandang kerusi berkenaan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, menang pada PRU14 lalu selepas bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 3,413 undi.
Beliau menewaskan tiga calon iaitu Syamsul Debat mewakili Barisan Nasional (BN), Rahim Yusof mewakili Pas dan Bujang, yang sebelum ini turut mempertaruhkan nasib sebagai calon Bebas.
Pada PRN kali ini, jumlah pemilih di DUN Sikamat adalah seramai 32,343 dengan 32,161 pengundi biasa.
#PRN Negeri Sembilan #DUN Sikamat #Aminuddin Harun #PRN
;