PRN: Ahli Amanah jadi calon tanpa restu dilucutkan keahlian
Sinar Harian
Julai 31, 2023 13:40 MYT
Julai 31, 2023 13:40 MYT
SHAH ALAM : Parti Amanah Negara (Amanah) menerima laporan terdapat ahlinya hadir pada hari penamaan pilihan raya (PRN) di enam negeri sebagai calon, pencadang dan penyokong tanpa kebenaran parti.
Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Hatta Md Ramli berkata, berdasarkan Fasal 6 Perlembagaan Parti Amanah Negara (2022) tindakan tersebut menyebabkan mereka dilucutkan keahlian parti serta-merta.
“Amanah mendapat makluman terdapat ahli parti bertindak hadir ke penamaan calon PRN sebagai calon, pencadang dan penyokong.
Berdasarkan perlembagaan parti, tindakan berkenaan menyebabkan mereka dilucutkan keahlian parti serta merta,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, parti itu menghantar 31 nama untuk bertanding di bawah logo Pakatan Harapan (PH) dengan semangat Kerajaan Perpaduan bersama Barisan Nasional (BN).
Jelasnya, kerjasama PH dan BN juga semakin kukuh apabila rundingan serta agihan kerusi berjaya dilaksanakan dengan lancar.
“Objektif yang mahu dicapai dalam rundingan ini adalah memastikan tiada pertembungan berlaku di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
“Dalam mana-mana kerjasama dan rundingan, prinsip ‘menang-menang’ sentiasa menjadi keutamaan.
“Namun begitu, bagi mencapai prinsip ini, sudah tentu setiap pihak yang terlibat perlu melakukan pengorbanan bagi memastikan kemenangan yang lebih besar dapat dicapai,” katanya. - Sinar Harian