PRN: Agihan kerusi PN selesai 99 peratus - Muhyiddin

Bernama
Jun 17, 2023 17:52 MYT
Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah selesai 99 peratus, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar fail/BERNAMA
GEORGE TOWN: Pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri sudah selesai 99 peratus, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh ketika berucap pada Konvensyen dan Pelancaran Jentera PN Pulau Pinang, di sini hari ini berkata pembahagian kerusi itu akan dimuktamadkan antara parti komponen PN pada Rabu depan (22 Jun).
Turut hadir, Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang dan barisan kepimpinan PN peringkat negeri.
Dalam pada itu, Muhyiddin mendakwa semangat pengundi terutama orang Melayu untuk menyokong PN pada PRN kali ini berada pada tahap yang luar biasa.
Enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran DUN di negeri berkenaan mungkin berbeza.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin mengesahkan beliau dan bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin akan mengadakan perjumpaan pada minggu depan dan berharap bekas Menteri Kesihatan itu akan membuat keputusan menyertai PN.
"Saya sudah tetapkan tarikh dan delegasi (rombongan) Khairy akan jumpa saya minggu depan, kita yakin beliau cukup bijak dan cerdik untuk membuat keputusan," katanya.
-- BERNAMA
#pembahagian kerusi #PRN enam negeri #Perikatan Nasional #Muhyiddin Yassin
;