PRN: Agihan kerusi dijangka diumum hujung Mac - Fahmi

Bernama
Februari 26, 2023 13:14 MYT
Fahmi Fadzil yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berswafoto bersama perwakilan pada perasmian Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor hari ini. - Gambar BERNAMA
PETALING JAYA: Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia dijangka mengumumkan hasil rundingan pembahagian kerusi antara parti dalam gabungan itu bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN), sebelum hujung Mac ini.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, ia mungkin diumumkan lebih awal kerana rundingan secara tidak rasmi mengenai pembahagian kerusi di enam negeri yang bakal mengadakan PRN, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan, sudah berlangsung agak lama.
"Proses (rundingan) itu sedang berjalan dan saya rasa ia akan dimuktamadkan (secara rasmi) melalui Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia yang terbentuk beberapa bulan lepas.
"... namun, tidak semestinya semua negeri diumumkan secara serentak, mungkin ada sesetengah negeri akan diumum terlebih dahulu," kata Menteri Komunikasi dan Digital itu kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pemantapan Penerangan PKR Selangor, di sini, hari ini.
Pada 22 Feb lepas, menteri besar dan ketua menteri dari enam negeri tersebut mencapai kata sepakat untuk mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam dua minggu terakhir Jun bagi memberi laluan kepada PRN.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor berkata, kesepakatan itu dicapai ketika sesi minum petang di Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-261 baru-baru ini. - BERNAMA
#pilihan raya negeri #Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia #Fahmi Fadzil #Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan
;