PRN 2023: Sembilan hari lagi, parti politik mula 'sibuk' umum calon
Bernama
Julai 20, 2023 00:05 MYT
Julai 20, 2023 00:05 MYT
KUALA LUMPUR: Berbaki sembilan hari lagi sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, parti-parti politik tanah air mula menyusun tarikh bagi mengumumkan calon masing-masing yang bakal dipertaruhkan dalam gelanggang politik negara.
Dua gabungan politik gergasi negara, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama buat julung kalinya di bawah khemah 'Kerajaan Perpaduan' bagi meraih undi pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan telah bersedia untuk mengumumkan calon selepas melalui beberapa siri perbincangan.
BN yang dijangka bertanding 45 peratus daripada 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri, akan menampilkan calon-calon daripada UMNO berikutan parti komponennya, MIC dan MCA mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada 12 Ogos ini.
Gabungan parti politik tertua negara itu akan mengumumkan lebih 100 calonnya malam esok di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, manakala PH khususnya PKR pula dijangka mengumumkan calon-calon yang bertanding di 59 kerusi DUN dalam satu majlis di Padang Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Sabtu ini.
Bagaimanapun, sekutu PKR, DAP masih berteka-teki mengenai tarikh pengumuman calonnya walaupun Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying berkata parti negeri itu dijangka mengumumkan senarai penuh 19 calonnya yang bertanding, pada minggu depan.
DAP difahamkan akan meletakkan calon di semua 48 kerusi DUN disandang parti itu dengan 19 kawasan di Pulau Pinang, Selangor (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (dua) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Satu lagi parti komponen PH, Parti Amanah Negara (Amanah) pula akan mengumumkan senarai penuh calon iaitu sekitar 31 hingga 34 orang pada Isnin ini, namun Presidennya Datuk Seri Mohamad Sabu tidak memaklumkan lokasi serta masa pengumuman tersebut akan dibuat setakat ini.
Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada tiga parti komponen besar iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan pula mengambil keputusan untuk mengumumkan calon masing-masing yang akan berentap pada PRN itu nanti, mengikut negeri menerusi majlis Pengisytiharan Calon-Calon PN.
PN di Selangor dijangka mengumumkan calonnya pada 25 Julai, manakala negeri-negeri lain akan membuat pengumuman pada 27 Julai.
Sementara itu Majlis Pengisytiharan Calon-Calon PN di Kedah yang dijadualkan esok ditangguhkan Selasa depan, yang difahamkan bagi mengubah strategi PAS Kedah menghadapi PRN Kedah.
Kerjasama PN bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi mengilhamkan Proklamasi Orang Melayu, masih tidak kelihatan begitu jelas dan pendirian parti itu sendiri masih belum jelas sama ada akan meletakkan calon pada PRN itu nanti.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang hanya bertanding 10 peratus daripada keseluruhan kerusi DUN merupakan parti pertama yang mula mengumumkan calon-calonnya secara berperingkat sejak 14 Julai lepas dengan lapan di Selangor, masing-masing seorang di Terengganu dan Pulau Pinang.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang bekerjasama dengan MUDA bagi menghadapi PRN telah mengumumkan calon pertamanya yang akan merebut kerusi DUN Meru pada 14 Julai lepas.
Pada masa yang sama, meskipun tiada pengumuman rasmi, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah diberi bayangan akan dikekalkan untuk jawatan itu sekiranya parti masing-masing terus mendapat mandat rakyat, sekali gus mengesahkan mereka akan menjadi calon.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pada 12 Ogos, penamaan calon pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
PRN 2023 ini melibatkan 36 DUN di Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).
-- BERNAMA