PRK TELUK INTAN: 150 anggota DAP sokong BN, timbulkan kekeliruan

Teoh El Sen
Mei 28, 2014 08:37 MYT
AHMAD MASLAN: Penyokong baharu BN itu telah jelak dengan DAP dan wakil mereka di Teluk Intan
Barisan Nasional (BN) berkata telah berjaya menarik lebih 150 anggota parti DAP yang tidak berpuas hati untuk memberikan sokongan kepada parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.
Timbalan Menteri Kewangan yang juga Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan mengumumkan perkara itu kepada pihak media dalam satu ceramah yang diadakan di Taman Desa Bakti malam tadi.
Ahmad Maslan ketika berucap di hadapan hadirin yang kebanyakkannya berketurunan India, berkata kumpulan terbabit telah bertindak keluar dari parti DAP dan kini menyarung baju ‘biru’ dengan lambang BN bersamanya.
“Apa yang BN lakukan di sini adalah demi masa hadapan. Kami memikirkan tentang masa hadapan Barisan Nasional, anak dan cucu cicit kita di Teluk Intan,” katanya.
Menganggap perkara itu sebagai satu detik bersejarah, Ahmad Maslan berkata, penyokong baharu BN itu telah jelak dengan DAP dan wakil mereka di Teluk Intan, selain kecewa dengan kurangnya pembangunan, peningkatan taraf hidup dan kemiskinan.
Tiga orang yang dikatakan bekas anggota DAP turut dibawa ke hadapan dengan memakai pakaian dan topi BN.
Kumpulan terbabit dilihat bertindak mencampakkan bendera “roket” DAP dan kemudiaannya mengibarkan bendera BN.
“Ya, sebelum ini mereka ini adalah penyokong mereka (DAP) dan kita (BN) tidak dapat menyusupi kawasan mereka. Untuk itu malam ini, mereka keluar dan mengisytiharkan sokongan terhadap BN,” Ahmad Maslan memaklumkan kepada wartawan selepas ceramah.
Katanya, kumpulan terbabit akan membantu kempen BN menerusi MIC. Turut bersama Ahmad Maslan adalah Ahli Dewan Undangan Changkat Jong, Mohd Azhar Jamaluddin.
“Mereka sentiasa menjadi penyokong kuat DAP, tetapi kini mereka telah menolak DAP, bertukar fikiran dan telah menyertai BN. Ini satu perubahan baharu. Kami akan sentiasa memperjuangkan nasib mereka.
Kekeliruan mengenai ‘anggota DAP’
Bagaimana pun sedikit kekeliruan timbul selepas sesi ceramah terbabit apabila sekumpulan wartawan meminta bukti yang mengatakan mereka sememangnya anggota parti DAP yang melompat parti.
Sebahagian daripada mereka yang ditemui Astro AWANI berkata mereka sentiasa menyokong BN.
“Saya dari BN, sentiasa bersama BN,” kata seorang dari anggota kumpulan terbabit ketika diminta untuk memperkenalkan diri.
Salah seorang daripada mereka turut menafikan telah meninggalkan parti itu, dengan mendakwa dia telah dipaksa untuk hadir di ceramah itu.
“ Saya tidak senang dengan perkara ini. Saya telah menjadi anggota DAP sejak lima tahun lalu.
“Mereka memaksa kami untuk melakukan perkara ini. Saya hanya diminta untuk membawa ahli keluarga dan rakan ke ceramah ini. Mereka berjanji untuk memberikan kami beberapa barangan percuma. Saya tidak tahu mereka akan mengambil gambar dan membuang bendera DAP ke lantai.
“Ya, saya masih bersama DAP. Keluarga saya sentiasa bersama DAP. Saya tidak menyertai BN,” kata S Sahtin, seorang pemandu teksi.
Sementara itu, Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy yang bertanggungjawab membawa kumpulan terbabit ke majlis itu berkata kemungkinan telah timbul salah faham di kalangan mereka.
Mohana berkata, Sahtin sebelum ini telah memaklumkan perkara lain kepadanya.
“Saya tidak faham. Saya baru bercakap dengannya sebentar tadi, dan dia antara lain berkata ingin memotong kad keahlian DAPnya,” katanya. Kekeliruan mungkin timbul kerana masalah bahasa, katanya lagi.
#Ahmad Maslan #Berjasa #DAP #Dyana Sofya #GERAKAN #Lim Kit Siang #MAH #PRK #Teluk Intan
;