PRK Tanjung Piai: Pengumuman calon Bersatu minggu depan - Muhyiddin

Fareez Azman
Oktober 16, 2019 12:52 MYT
Muhyiddin berkata PH akan memperkenalkan calon terbaik buat rakyat di Parlimen itu, sekali gus mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut. -Astro AWANI/Shahir Omar
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) P165 Tanjung Piai, Johor minggu hadapan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu program khas untuk memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) akan dibuat pada hari penamaan calon.
"Saya sebagai Pengerusi PH dan Pengarah Pilihanraya Negeri akan mengumumkannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara, di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pada Rabu.
Ujar Muhyiddin, PH akan memperkenalkan calon terbaik buat rakyat di Parlimen itu, sekali gus mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.
"Insya-Allah kita akan dapatkan tokoh dan calon agak baik sesuai untuk Tanjung Piai," katanya.
Suruhanjaya Pilihanraya Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Tanjung Piai pada 2 November manakala tarikh buang undi dijadual pada 16 November depan.
PRK Tanjung Piai dibuat susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.
#Md Farid Md Rafik #Muhyiddin Yassin #pilihan raya kecil #PPBM #PRK Tanjung Piai #Suruhanjaya Pilihan Raya
;