PRK Tanjung Piai: Pembangkang perlukan bukan muslim yang tidak ekstrem - Presiden PAS
Astro Awani
November 4, 2019 16:01 MYT
November 4, 2019 16:01 MYT
PAS berpendapat gabungan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk, iaitu MCA yang ada kini memiliki satu kerusi parlimen sahaja.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata formula tersebut mungkin berubah menjelang Pilihan Raya Umum akan datang dengan melihat senario dan strategi semasa untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional di peringkat yang lebih besar.
"PAS beranggapan PRK Tanjung Piai adalah simbol bagi konsep Taawun demi perubahan peringkat nasional dan mewakili Muafakat Nasional, bukan sekadar ukuran satu Parlimen Tanjung Piai sahaja.
"PAS melihat pakatan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk, iaitu MCA yang ada satu kerusi sahaja.
"Untuk PRU akan datang, formula ini mungkin berubah dengan melihat senario dan strategi semasa untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional di peringkat yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Abdul Hadi sebelum ini dilaporkan bersetuju dengan pemilihan Datuk Seri Wee Jeck Seng dari MCA untuk mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.
Selain menyokong Wee, PAS turut mengarahkan ahlinya yang mengundi di Tanjung Piai agar memilih BN berbanding calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai kosong selepas kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik bulan lalu kerana komplikasi jantung.
PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Karmaine Sardini mewakili PH dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock, pengasas pusat tuisyen; dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, seorang ahli perniagaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Nov sebagai hari mengundi PRK Tanjung Piai manakala 12 Nov bagi pengundian awal.
#Abdul Hadi Awang
#MCA
#Muafakat Nasional
#PAS
#PRK Tanjung Piai
#Tanjung Piai
#Tanjung Piai Memilih
#Wee Jeck Seng