PRK Tanjung Piai: 'Bukti Gagasan Sejahtera dan BN mampu bersatu' - Abdul Hadi
Firdaus Azil
November 6, 2019 05:28 MYT
November 6, 2019 05:28 MYT
Kemenangan Barisan Nasional di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bakal memberikan isyarat besar kepada pilihan raya umum mengenai kepentingan menolak parti yang ekstrem, kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Atas sebab itu, kata Ahli Parlimen Marang itu, parti pimpinannya memberikan sokongan padu kepada calon MCA Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa Gagasan Sejahtera dan BN mampu bersatu di bawah payung Muafakat Nasional.
“Di sinilah PAS turun di Tanjung Piai yang kita berjanji untuk menyokong MCA yang bertanding di sini.
"Kepada pengundi Tanjung Piai mesti faham, pilihan raya ini bukan kecil tapi besar... yang besar maknanya untuk memberi isyarat kepada pilihan raya umum yang akan datang.
"Sekarang kita punyai barisan pembangkang yang menjadi besar orang Melayu saja. Kita memerlukan kerusi-kerusi bukan Islam yang tidak ekstrem. Kita tolak parti yang ekstrem,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana sempena PRK Tanjung Piai di Kampung Rimba Terjun, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, serta pimpinan kanan parti berkenaan.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata masyarakat perlu menilai tentang cara hasutan Pakatan Harapan, terutamanya tuduhan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mengatakan negara akan huru-hara jika PAS dan UMNO memerintah.
“PAS yang perintah Kelantan sampai hari ini, ada huru-hara di Kelantan? Di Terengganu, ada huru-hara? Dia kata kita Taliban, dia kata kita macam-macam. Dari Pagoh pergi Seremban. Turun belayar ke Pulau Manis. Kamu tuduh kami Taliban, di belakang kamu ada komunis!
“Semua parti yang ada ini, ketika mencapai kemerdekaan dulu, pasti yang tidak menyokong Komunis. Semua parti...PAS, UMNO, MCA mahupun MIC, walaupun berlainan ideologi... tetapi kami bersepakat menentang Komunis,” katanya lagi.
#Abdul Hadi Awang
#Ahmad Zahid Hamidi
#Barisan Nasional
#MCA
#Pakatan Harapan
#PAS
#pilihan raya kecil
#PRK Tanjung Piai
#Salahuddin Ayub
#UMNO
#Wee Jeck Seng
#Wee Ka Siong
#Zahid Hamidi