PRK Tanjong Datu: PM Najib harap pengundi beri sokongan padu kepada Jamilah

Bernama
Februari 17, 2017 22:09 MYT
Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pengundi PRK Tanjong Datu memberi sokongan padu kepada calon BN Datuk Amar Jamilah Anu pada hari pengundian esok. -Gambar fail
Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu pada hari pengundian esok.
"Hari ini adalah hari terakhir untuk berkempen bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.
"Kepada semua pengundi, saya harap mereka tidak mengambil ringan pilihan raya ini dan akan keluar mengundi beramai-ramai esok," kata Perdana Menteri menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau, hari ini.
PM Najib yang juga Pengerusi BN yakin bahawa Jamilah akan dapat meneruskan perjuangan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem memajukan dan membawa lebih banyak perubahan kepada penduduk kawasan itu.
Sebanyak 9,771 pemilih berdaftar layak mengundi bagi memilih pengganti Adnan, juga Ketua Menteri Sarawak yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semua pusat mengundi akan dibuka bermula 8 pagi, dan ditutup pada waktu berbeza bergantung kepada lokasi, jarak serta jumlah pemilih sehingga waktu terakhir pada 5 petang.
Jamilah akan dicabar oleh dua calon pembangkang dari Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit dan calon Parti Reformasi Negeri (Star) Johnny Aput. -- BERNAMA
#Jamilah Anu #Najib Razak #PRK #SPR #Tanjong Datu
;