PRK Tanjong Datu 'pemanas badan' menjelang PRU - SPR
Bernama
Februari 18, 2017 17:20 MYT
Februari 18, 2017 17:20 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melihat Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu sebagai 'acara pemanas badan' sebelum menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Pengerusinya Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata PRK itu juga adalah peluang pegawai SPR meraih lebih banyak pengalaman dalam mengendalikan pilihan raya dengan baik.
Bercakap dalam sidang media selepas melawat pusat media yang disediakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia bagi kemudahan pemberita membuat laporan PRK hari ini, Mohd Hashim berkata SPR juga sangat berpuas hati dengan perjalanan PRK itu.
"Semasa lawatan kami di pusat-pusat pengundian, kami dapati tiada sebarang kain rentang berunsur provokatif yang dipamer oleh parti-parti bertanding.
"Keadaan masyarakat juga tenang dan suasana adalah aman. Inilah yang kami mahu," katanya.
Mengenai peratusan pemilih yang keluar mengundi hari ini, Mohd Hashim berkata SPR menyasarkan 75 peratus namun sasaran itu mungkin tidak tercapai disebabkan hujan yang turun sejak pagi.
"Justeru, kami menyeru semua pengundi berdaftar keluar menunaikan tanggungjawab mereka, kalau tidak apa gunanya mendaftar sebagai pemilih," katanya.
-- BERNAMA