PRK Tanjong Datu: Jamilah jadi pilihan, BN menang majoriti lebih besar
Bernama
Februari 18, 2017 20:49 MYT
Februari 18, 2017 20:49 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu menewaskan calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit dalam pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu hari ini.
Keputusan diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Hamsein Atar di Dewan Masyarakat Lundu di sini pada pukul 8 malam.
Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi apabila memperoleh 6,573 undi, manakala Johnny Aput memperoleh 108 undi dan Rapelson 130 undi.
Keputusan itu juga menyaksikan kedua-dua calon PBDS Baru dan STAR hilang deposit.
PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.
Bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kebajikan rakyat yang dilaksanakan Adenan di kawasan itu, BN meletakkan Jamilah, yang merupakan balu Adenan sebagai calon.