PRK Sungai Kandis: SPR nasihat pengundi rancang waktu keluar mengundi
Bernama
Ogos 4, 2018 14:26 MYT
Ogos 4, 2018 14:26 MYT
Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dinasihatkan merancang waktu mengundi hari ini dengan sebaik mungkin dan keluar awal berikutan keadaan cuaca diramal tidak menentu terutama pada waktu petang.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata sehingga kini proses pengundian pilihan raya kecil (PRK) itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
"Saya lihat secara purata 60 hingga 70 orang pengundi bagi satu-satu saluran mengundi yang saya lawati dan dijangka lebih ramai pengundi akan keluar mengundi tengah hari nanti," katanya kepada pemberita ketika meninjau pusat pengundian di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di sini, hari ini.
DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 pengundi berdaftar dengan pengundi biasa seramai 51,217 orang dan 13 pengundi tidak hadir.
SPR sebelum ini menyasarkan 80 peratus keluar mengundi pada PRK yang diadakan berikutan kematian penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.
Ia menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun di Shah Alam, Othman berkata seramai 400 pengundi baharu DUN Sungai Kandis bakal mengundi buat kali pertama pada PRK kawasan itu hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta sebanyak mungkin pengundi menunaikan tanggungjawab mengundi memandangkan pusat mengundi hanya akan ditutup pada pukul 5.30 petang ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata seramai 1,200 anggota dan pegawai polis ditugaskan pada PRK itu.
"Kita menempatkan antara 25 hingga 39 orang pegawai dan anggota di satu-satu pusat mengundi bagi memastikan situasi proses mengundi teratur dan terkawal," katanya ketika ditemui di sekolah itu.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#K Murthy
#Lokman Noor Adam
#Mohd Zawawi Ahmad Mughni
#N49
#PKR
#sungai kandis
#Suruhanjaya Pilihan Raya