PRK Sungai Kandis: 'Saya tak goyang' - Mohd Zawawi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Julai 23, 2018 14:36 MYT
Calon PKR Sg Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni tidak gentar ketika ditanya mengenai strategi kempen oleh pakatan pembangkang. - Gambar fail
"Saya tak goyang, saya yakin pengundi PAS seramai lebih tujuh ribu itu akan mengundi saya."
Demikian penjelasan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N49 Sg Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika ditanya mengenai strategi kempen oleh pakatan pembangkang Barisan Nasional dan Pas.
"Saya dan jentera akan meneruskan kempen yang memasuki hari ketiga ini. Sudah menjadi hasrat saya untuk menjadikan DUN Sg Kandis ini sebagai sebuah DUN terbaik di negeri Selangor," jelasnya dalam sidang media hari ketiga kempennya yang diadakan di kawasan Bukit Naga di sini hari ini.
Mohd Zawawi menggariskan tiga perkara yang akan diangkat sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada 4 Ogos depan.
Tiga perkara yang dimaksudkan Mohd Zawawi adalah pendidikan, pelaksanaan dan penguatkuasaan berkaitan alam sekitar.
"Isu alam sekitar sangat meruncing di Sg Kandis ini dan saya akan mencadangkan kepada kerajaan negeri agar membuat satu Pelan Khusus menyelamatkan alam sekitar.
"Ini kerana sudah menjadi tanggungjawab untuk semua orang memelihara alam sekitar dan ia dijelaskan dalam Al Quran," jelasnya.
Katanya, beberapa kawasan telah dikenalpasti dan tinjauan telah dan sedang dilakukan terutama melibatkan sampah haram.
Menjawab pertanyaan berhubung isu Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah 355 yang diangkat Pas, Mohd Zawawi berkata PKR bersetuju tetapi bukan untuk dilaksanakan serta merta.
Jelas isu asas perlu ditangani terlebih dahulu sebelum penguatkuasaan undang-undang.
"Isu asas masyarakat perlu ditangani terlebih dahulu seperti isu kos sara hidup dan sebagainya. Kita mahu melakukan pendekatan wasatiyah dan mensejahterakan rakyat terlebih dahulu baru kita bincang perkara tersebut," katanya lagi.
#Mohd Zawawi Ahmad Mughni #Parti Keadilan Rakyat #PAS #pembangkang #pilihan raya #pilihan raya kecil #PKR #Sg Kandis
;