PRK Sungai Kandis: Penyokong Pas diyakini memihak PKR
Bernama
Julai 26, 2018 07:00 MYT
Julai 26, 2018 07:00 MYT
Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tetap yakin pengundi Pas akan mengundinya walaupun kepimpinan pusat parti Islam itu mendorong anggotanya memilih Barisan Nasional (BN) pada 4 Ogos ini.
Mohd Zawawi berkata mana-mana pihak boleh menyuarakan pandangan masing-masing namun hasil pertemuan dengan anggota akar umbi Pas dalam jelajah kempen PRK berkenaan menunjukkan mereka sebenarnya menyokong beliau dari belakang.
"Saya yakin ramai penyokong dan pengundi Pas akan undi saya nanti kerana secara peribadi memang mereka nyatakan sokongan kepada saya.
"Rakyat buat perbandingan mereka sendiri mengenai calon yang ditawarkan...DUN ini majoriti Melayu dan mereka mahu orang tempatan," katanya dalam sidang media di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan Anggota Jawatankuasa Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti Islam itu mendorong anggotanya mengundi BN pada PRK DUN Sungai Kandis.
Pada PRK itu, Mohd Zawawi yang merupakan anak tempatan akan berdepan dengan calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membantu kempen Lokman Noor pada Rabu, Mohd Zawawi berkata ia tidak menjejaskan atur gerak jentera PKR menyantuni rakyat sebaliknya hanya meningkatkan sokongan pengundi kepadanya.
"Saya tidak tahu apa strategi mereka tapi kehadiran bekas PM (Najib) itu sebenarnya akan tambah sokongan kepada saya sebab penolakan (rakyat) terhadap pemimpin itu telah jelas (ditunjukkan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14)," katanya.
Tambah pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh Jalan Kebun itu lagi, strategi pihaknya untuk PRK tersebut sejak hari pertama kempen adalah dengan berjumpa sendiri seramai mungkin pengundi menerusi pelbagai program yang bermula seawal Subuh.
Selain itu, jentera PKR juga digerakkan ke setiap rumah bagi menggalakkan mereka keluar mengundi pada 4 Ogos ini, katanya.
PRK DUN Sungai Kandis diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
-- BERNAMA
#akar umbi
#Barisan Nasional
#kempen
#Lokman Noor Adam
#Mohd Zawawi Ahmad Mughni
#parti Islam
#PAS
#pengundi
#pilihan raya kecil
#PKR
#sungai kandis