PRK Sungai Kandis: 'Ini perjuangan dan cara baharu, kita akan tetap lawan' - Noh
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Julai 12, 2018 17:30 MYT
Julai 12, 2018 17:30 MYT
"Ini perjuangan baharu dan cara baharu, kita akan tetap lawan. Jika diambil keputusan lepas, kalah hampir pasti namun menang belum tentu.
"Kita mahu pengundi Sungai Kandis pilih UMNO atau Barisan Nasional jika mahu kerajaan Pakatan Harapan tunaikan janji."
Demikian tegas Pengerusi UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar ketika mengulas isu meletakkan calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri N.49 Sungai Kandis yang bakal diadakan pada 4 Ogos depan.
Berhubung isu siapa yang bakal bertanding pada PRK tersebut, Noh berkata senarai nama telah diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.
"Setelah berbincang bersama 22 ketua bahagian, kami telah sepakat menyenaraikan empat nama untuk dipilih sebagai calon di Sg Kandis nanti.
"Nama-nama yang diserahkan telah mengambil kira semua aspek seperti calon tempatan, wanita, puteri dan pemuda." Jelas Noh dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Bakal Jemaah Haji Parlimen Tanjong karang pada Khamis.
Pada majlis tahunan itu seramai 125 bakal jemaah haji menerima sumbangan.
Mengulas lanjut Noh berkata kini terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menilai senarai terbabit.
Katanya beliau akan memimpin parti negeri itu pada pilihanraya itu nanti sehingga pelantikan baharu dibuat.
"Saya tidak kecewa, saya dipilih sekali lagi oleh pengundi sebagai ahli parlimen Tanjong karang, cuma biarlah perjuangan baharu ini diketuai orang baharu.
"Saya mengharapkan agar peralihan pimpinan negeri di buat segera dan jika tidak, saya akan tetap jalankan tugas saya." Jelasnya ketika ditanya adakah beliau kecewa susulan berita yang menyatakan beliau ingin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi UMNO Selangor.
"Jika saya masih memimpin, mungkin tidak banyak pembaharuan yang dapat dilihat,
"Tetapi jika ada yang baharu, mungkin yang lebih muda, saya yakin akan ada cara dan strategi baharu dibuat," tambahnya.
#Ahmad Zahid Hamidi
#Barisan Nasional
#calon
#kerajaan
#Noh Omar
#Pakatan Harapan
#pilihan raya kecil
#sungai kandis