PRK Sungai Kandis: Ibu dalam pantang buang undi
Sinar Harian
Ogos 4, 2018 12:42 MYT
Ogos 4, 2018 12:42 MYT
Pengundi yang masih dalam pantang teruja turut membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis, hari ini.
Siti Azliyana Ahmad Kamal, 38, pulang ke kampung halamannya dari Desa Pandan, Kuala Lumpur pagi ini bagi menjalankan tanggungjawabnya.
"Saya balik sebab mengundi ini wajibkan. Saya baru sampai kampung pagi ini dan terus pergi buang undi.
"Suasana lain sedikit daripada PRU14. Dulu meriah betul tapi sekarang sunyi sedikit," katanya kepada Sinar Harian.
Siti ditemui ketika mengendong bayinya yang baru berusia sebulan selepas membuang undi di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis, pagi tadi.
Ibu kepada dua anak itu berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat menjalankan tanggungjawab sewajarnya.
"Di sini ada mak ayah tinggal jadi saya harap siapa yang menang dapat jalankan tanggungjawab dan tunaikan janji kepada pengundi.
"Masalah seperti jalan, lampu jalan, parit yang tersumbat serta kawasan banjir di sini...tanganilah," katanya yang datang ditemani suaminya, Hamdan Ahmad, 42.
Dalam pada itu, Siti turut melahirkan kesyukuran kerana urusan membuang undi dipercepatkan kerana membawa anak kecil.
Suasana pusat mengundi di SRA Sungai Kandis menjadi tumpuan dua jam pertama pengundian dibuka sebelum kembali sunyi sekitar jam 10 pagi.
Pada awal pagi, kelihatan ramai pengundi saluran 1 dan 2 turun membuang undi malah ada yang datang bertongkat, berkerusi roda dan berpapah.
Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam hadir ke pusat mengundi itu sekitar jam 9 pagi sebelum bergerak melawat ke pusat mengundi lain.
Calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut bergerak melawat setiap pusat mengundi di Dun ini.
Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 109 saluran dibuka bermula 8 pagi hingga 5.30 petang hari ini.