PRK Sungai Kandis: Ambil kira faktor calon tempatan - MB Selangor

Nursyazwani Saiful Sham
Julai 12, 2018 22:27 MYT
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah Peringkat DUN Sungai Kandis, di sini, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
Calon tempatan adalah antara faktor yang akan diambil kira untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, beberapa nama calon untuk bertanding telah diserahkan kepada Kerajaan Pusat untuk dipertimbangkan.
“Saya sudah serahkan beberapa nama kepada pimpinan pusat dan telah mengambil kira faktor calon tempatan.
“Buat masa ini saya serahkan pimpinan Pusat untuk membuat keputusan sewajarnya untuk menamakan calon yang akan bertanding,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah Peringkat DUN Sungai Kandis, di sini, pada Khamis.
Ketika ditanya sama ada akan mengekalkan calon lelaki bagi DUN Sungai Kandis, beliau berkata pemilihan calon bukan atas faktor jantina.
“Kita bukan tengok pada faktor jantina untuk pemilihan calon, tetapi faktor kemenangan yang lebih kami tumpukan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya kini sedang bertungkus-lumus untuk menggerakkan jentera untuk bersedia bagi PRK tidak lama lagi.
“Di pihak kita sekarang saya lebih menumpukan bagaimana mahu menggerakkan jentera supaya mereka dapat bersedia dan membuka kembali setiap operasi yang sudah mereka buat empat lima bulan lepas,” ujarnya.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan pada 4 Ogos sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis.
Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 21 Julai, manakala tempoh berkempen bagi PRK ini selama14 hari.
Ia susulan kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.
#ADUN #Amirudin Shari #MB Selangor #meninggal dunia #pilihan raya #pilihan raya kecil #PRK #sungai kandis #Suruhanjaya Pilihan Raya
;