PRK Sungai Kandis: 35 peratus keluar mengundi setakat 2 petang

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 4, 2018 15:19 MYT
Peratusan Keluar Mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Sungai Kandis bagi setiap jam hingga jam 2 petang adalah 35 peratus. -Astro AWANI/Shahir Omar
Peratusan Keluar Mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 Sungai Kandis bagi setiap jam hingga jam 2 petang adalah 35 peratus.
Peratusan hampir sama pernah dicatat di N49 Sungai Kandis pada jam 11 pagi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Menurut Suruhanjaya Pilihanraya SPR, pada PRU14 lalu, N49 Sungai Kandis merekodkan peratusan keluar mengundi sebanyak 36 peratus pada 11 pagi.
Dengan peratusan tersebut dapat dilihat semangat keluar mengundi berkurangan dalam kalangan pengundi Sungai Kandis.
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam berkata pelbagai kemungkinan bakal berlaku jika keadaan ini berterusan sehingga tempoh akhir mengundi.
"Ini boleh membawa kepada beberapa kemungkinan, pertama ia mungkin mampu menyumbang kepada kemenangan Parti Keadilan Rakyat.
"Kedua, ia mungkin akan memberikan kemenangan kepada BN," katanya yang ditemui di pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Andalas 1.
Jelasnya, pada PRU14 lalu, pengundi saluran satu dan dua mengeluh kerana terpaksa beratur panjang dan menaiki tangga.
"Namun selepas aduan kita buat sebelum ini kepada SPR, saluran satu dan dua telah ditempatkan di tingkat bawah berbanding sebelumnya," katanya lagi.
SMK Seri Andalas 1 mempunyai seramai 6,540 pengundi berdaftar namun pemantauan di sekolah terbabit menyaksikan suasana lengang berbanding pada PRU14 lalu.
#Lokman Noor Adam #N49 #pilihan raya kecil #sungai kandis #Suruhanjaya Pilihan Raya
;