PRK Sungai Besar: Budiman terkejut dengan majoriti yang diterima

Hafiz Marzukhi
Jun 18, 2016 23:40 MYT
Budiman menewaskan calon PAS dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi mengakui terkejut dengan jumlah majoriti undi yang diterimanya.
"Saya mengakui saya agak terkejut sebab saya meletakkan diri saya sebagai 'underdog' dalam PRK kali ini.
"Dengan keputusan pilihan raya sebelum ini di mana Barisan Nasional hanya memperolehi majoriti sebanyak 399 undi, sudah tentu keputusan kali ini agak mengejutkan," kata Budiman kepada pemberita.
Namun, Budiman menegaskan bahawa beliau mengambil serius kepercayaan yang diberi dan menganggapnya sebagai satu ingatan untuk tidak meninggi diri.
"Saya juga berterima kasih kepada jentera parti serta sahabat parti komponen yang membantu saya sepanjang kempen saya," kata Budiman.
BN telah berjaya mengekalkan kerusi P.093 Sungai Besar pada PRK Parlimen itu hari ini.
BACA: BN kekal kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 undi
Budiman, yang merupakan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, telah menewaskan calon PAS dengan majoriti 9,191 meraih jumlah undi sebanyak 16,800 undi.
Beliau yang juga merupakan Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar menewaskan ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman, dan Azhar Abdul Shukur dari parti Amanah.
PAS memperolehi 6,902 undi sementara Amanah memperolehi 7,609 undi.
#Barisan Nasional #BN #Budiman Mohd Zohdi #PRK #Sungai Besar
;