PRK Sungai Besar: BN umum calon, lancar jentera pada 28 Mei

Harits Asyraf Hasnan
Mei 21, 2016 15:45 MYT
Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 28 Mei ini. -Gambar fail
Barisan Nasional (BN) akan mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 28 Mei ini.
Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha BN Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz dalam satu mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada media hari ini.
Ketika dihubungi Astro AWANI, Johan berkata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menghadiri majlis tersebut.
"Dalam jemputan kepada media, kita memang nyatakan majlis bermula pada jam 3 petang. Selain mengumumkan calon PRK Sungai Besar, kita juga akan melancarkan Jentera PRK Sungai Besar," kata Johan.
Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar adalah berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar akan diadakan serentak di mana hari penamaan calon adalah pada 5 Jun, pengundian awal 14 Jun, dan hari mengundi pada 18 Jun.
#Barisan Nasional #BN #Johan Abdul Aziz #pilihan raya kecil #PRK Sungai Besar
;