PRK Sungai Bakap: PKR Pulau Pinang serah senarai pendek nama calon

Dewi Nur Harasha Alias
Jun 2, 2024 13:15 MYT
Mohamad (tengah) bercakap kepada media selepas Sidang Media Projek Mitigasi Banjir di DUN Sungai Bakap hari ini. - Foto Astro AWANI
NIBONG TEBAL: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang sudah menghantar senarai pendek nama calon untuk dipertimbangkan bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri ( DUN) Sungai Bakap akan datang.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Mohamad Abd Hamid berkata, senarai nama terdiri daripada lelaki dan wanita anak tempatan berusia antara 30 hingga 60 tahun itu diserahkan semalam untuk dipertimbangkan dan diperhalusi Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Di peringkat pimpinan negeri kita telah menerima cadangan daripada peringkat cabang Nibong Tebal dan senarai pendek telah pun kita hantar kepada pimpinan atasan iaitu di bawah kepimpinan presiden, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan dan diperhalusi.
"Senarai pendek ada beberapa nama, adalah dalam tiga hingga lima orang, jantina dalam senarai pendek itu ada lelaki ada wanita, umur 30-60 tahun," katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, misi PH adalah untuk menawan semula kerusi DUN Sungai Bakap, justeru semua pimpinan termasuk jentera Wanita dan Angkatan Muda Keadilan ( AMK) sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRK kelak.
Ditanya sama ada PKR akan memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bertanding di kerusi itu, Mohamad berkata, ia sudah jelas seperti mana diperkatakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi dan Ketua UMNO Bahagian Nibong Tebal, Datuk Rashidi Zinol untuk memberi keutamaan kepada parti bertanding pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu.

Tambah Mohamad, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan semua Ketua Cawangan UMNO melibatkan 16 cawangan berhubung taklimat pilihan raya.
Beliau percaya dengan kejituan dan perpaduan antara PH dan Barisan Nasional ( BN) negeri, kerusi DUN Sungai Bakap dapat ditawan semula.
Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang berkata demikian kepada media selepas Sidang Media Projek Mitigasi Banjir di DUN Sungai Bakap oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang, Zairil Khir Johari di Sungai Bakap pada Ahad.
Hadir sama, Ahli Parlimen Nibong Tebal merangkap Timbalan Ketua Wanita PH Fadhlina Sidek.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan mengenai PRK Sungai Bakap.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Pada PRN yang lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) menang ke atas calon Pakatan Harapan Nurhidayah Che Rose, selepas meraih 15,433 undi.
#PRK Sungai Bakap #PKR Pulau Pinang #Mohamad Abd Hamid b #nama calon
;