PRK Sungai Bakap: PKR ambil kekalahan PH sebagai tekad bermuhasabah diri
Bernama
Julai 6, 2024 05:30 MYT
Julai 6, 2024 05:30 MYT
NIBONG TEBAL: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyahut keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap malam tadi sebagai tekad untuk bermuhasabah diri.
Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata meskipun kalah, parti itu akan terus berusaha melakukan perubahan demi masa depan Pulau Pinang dan Malaysia yang lebih baik.
"Kekalahan ini diambil dengan penuh tanggungjawab sebagai isyarat untuk terus bermuhasabah dan mengingatkan kita bahawa kita tidak boleh terlalu selesa serta kerja-kerja untuk meyakinkan rakyat tidak boleh terhenti.
"Hakikat ini kita sahut sebagai cabaran lanjutan dalam diari perjuangan hidup," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan jentera Perpaduan di Bilik Gerakan Utama di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Pengarah Pilihan Raya PH PRK DUN Sungai Bakap Datuk Mohamad Abdul Hamid dan calon PH bagi PRK DUN Sungai Bakap Joohari Ariffin.
Pada PRK itu, Perikatan Nasional mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi setelah menewaskan Joohari.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Nurul Izzah, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Pulau Pinang, turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan undi kepada parti itu.
"Tidak dilupakan pasukan jentera PH dan Barisan Nasional yang telah bertungkus-lumus membantu tanpa lelah sepanjang tempoh berkempen," katanya.
Beliau berkata meskipun menghormati pilihan rakyat Sungai Bakap pada PRK kali ini namun pihaknya berasa dukacita dengan kewujudan serangan perkauman sempit dan fitnah jahat yang dilempar oleh pihak lawan bagi mempengaruhi sentimen pilihan raya itu.
"Walau apapun, kita harus berusaha untuk membawa kembali perdebatan, penerangan dan usaha penyelesaian yang tertumpu kepada isu pokok seperti kebajikan rakyat, pendidikan anak-anak, pembangunan infrastruktur serta kelangsungan hidup yang mengimbangkan keperluan seberang dan juga pulau," katanya.
-- BERNAMA