PRK Sungai Bakap: Peluang cerah untuk calon PH - Fadhlina

Bernama
Jun 20, 2024 16:30 MYT
Fadhlina berkata, masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin DUN Sungai Bakap ke arah lebih baik dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan. - Gambar/ Bernama
NIBONG TEBAL: Peluang calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah cerah kerana masyarakat di kawasan itu sememangnya mahukan perubahan, kata Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Ringkasan AI
  • Fadhlina Sidek, Ketua Wanita PKR dan Menteri Pendidikan, meramalkan peluang calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin, untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap adalah cerah.
  • Menurut Fadhlina, terdapat mood yang positif di kalangan penduduk DUN Sungai Bakap yang menginginkan transformasi.
  • PRK Sungai Bakap diadakan akibat kematian Nor Zamri Mohd Nor, bekas Yang Dipertua PAS Nibong Tebal. Nor Zamri menang dengan majoriti 1,563 undi dalam Pilihan Raya Negeri lepas, mengalahkan calon PH Nurhidayah Che Ros. Tarikh penamaan calon pada 22 Jun dan pengundian pada 6 Julai telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau yang juga Menteri Pendidikan dan Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin DUN Sungai Bakap ke arah lebih baik dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.
"Saya melihat 'mood' yang sangat baik dalam kalangan masyarakat di sana (DUN Sungai Bakap) yang inginkan perubahan. Peluang yang cerah untuk calon Kerajaan Perpaduan memenangi PRK DUN Sungai Bakap kali ini," katanya kepada media hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.
Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.
-- BERNAMA
#PRK Sungai Bakap #Fadhlina Sidek #calon PH
;